MAJLIS PENYERAHAN KEPUTUSAN UPSR 2017

SKTM Khamis 23.11.2017

Majlis Penyerahan Keputusan UPSR disempurnakan oleh Pn.Norazani bt. Mahamad, Guru Besar SKTM. Berbeza daripada tahun-tahun lalu, majlis pada tahun ini dilaksanakan secara sederhana tanpa mengumumkan keputusan UPSR murid dan analisa pencapaian UPSR SKTM 2017 seperti yang diarahkan oleh pihak KPM. Pada majlis ringkas tersebut, pegawai daripada Yayasan Pelajaran MARA turut hadir bagi mendapat maklum balas pencapaian anak-anak SKTM yang mendapat bantuan pendidikan daripada Yayasan Pelajaran MARA.

( lihat foto )

MALAM APRESIASI MURID TAHUN 6/2017

SSL TRADERS Khamis 23.11.2017

Julung-julung kalinya pihak sekolah meraikan anak-anak tahun 6 di luar sekolah iaitu di Hotel SSL Traders, Taiping. Majlis berlangsung penuh meriah dengan kehadiran anak-anak tahun 6 bersama ibu-bapa mereka. Majlis yang dinamakan Malam Apresiasi Murid Tahun 6/2017 dilaksanakan bertujuan merai serta menghargai keringat anak-anak tahun 6 yang bertungkus lumus menghadapi pembelajaran demi kemenjadian sebenar murid SKTM. Majlis disempurnakan oleh En.Yahaya b. Sani, Pengarah MARA Negeri, Negeri Perak DR yang kebetulan anak kelahiran tempatan dan bekas murid SK Teluk Medan. Dalam ucapannya, beliau berasa terharu dengan perlaksanaan Malam Apresiasi Murid Tahun 6/2017 yang bukan sahaja meraikan anak-anak tahun 6 malahan dapat mengeratkan silaturrahim antara warga sekolah dengan komuniti Teluk Medan. Selain daripada penyampaian sijil penghargaan kepada semua murid tahun 6, turut disampaikan anugerah kehadiran penuh, penghargaan guru-guru tahun 6 dan tokoh-tokoh penting SKTM bagi tahun 2017. Pada majlis tersebut, Ahmad Nur Adam b. Ahmad Jais, Ketua Murid SKTM 2017 telah dicanang sebagai Tokoh Murid SKTM 2017. Turut hadir pada Malam Apresiasi Murid Tahun 6/2017 ialah Tn.Hj.Johari b. Saman, Penyelia Pembangunan PPD Kerian dan beberapa pegawai MARA Daerah Kerian.

( GALERI FOTO 1 )

( GALERI FOTO 2 )