Latar Belakang

Pencapaian Malaysia dalam Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) tahun 2007 adalah pada kedudukan ke-20 bagi Matematik dan ke-21 bagi Sains dalam kalangan 49 buah negara. Manakala laporan Program for International Student Assessment (PISA) tahun 2009 menunjukkan prestasi Malaysia berada pada kedudukan ke-57 bagi Matematik, ke-55 bagi Sains dan ke-52 bagi Kefahaman dalam kalangan 74 negara.
Dapatan ini diperkukuhkan lagi dengan laporan kajian keperluan oleh Perunding Kestrel Education (UK) dan 21 Century Schools (USA) pada 2 November 2011 mendapati bahawa pemikiran aras tinggi dalam kalangan guru dan murid di Malaysia amat rendah.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mula memperkenalkan kemahiran berfikir kreatif dan kritis di dalam program Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis (KBKK) pada tahun 1994. Guru telah diperkenalkan kepada pelbagai alat berfikir. Walau bagaimanapun, dapatan kajian telah menunjukkan bahawa guru kurang kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Pengajaran di dalam bilik darjah banyak berpusatkan kepada guru dan menjurus ke arah persediaan peperiksaan.
Kesemua dapatan ini telah mendorong pihak KPM memantapkan lagi usaha ke arah menghasilkan modal insan yang kreatif dan berinovatif. Usaha ini adalah bagi menghadapi cabaran abad ke-21 yang memerlukan seseorang yang mampu berfikir pada aras tinggi.
Dengan itu, KPM telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (di bawah Jabatan Perdana Menteri) melaksanakan program i-THINK dengan merintis 10 buah sekolah di Malaysia. Program ini diperluaskan kepada 1,000 buah sekolah pada tahun 2013 dan seterusnya kesemua sekolah pada tahun 2014.

Program i-THINK adalah…
…satu program yang bertujuan mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid berinovatif.
Guru dan murid akan menggunakan alat berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran di samping melaksanakan aktiviti kemahiran berfikir aras tinggi.
Abjad ‘i’ – bermaksud inovasi dan ‘THINK’ pula bermaksud pemikiran iaitu pemikiran secara inovatif yang perlu ada pada semua murid.